Tuesday, November 6, 2012

Pidato Piala KPM Sekolah Rendah


Pidato Piala KPM Sekolah Rendah : Kertas Konsep

KERTAS KONSEP
PIDATO PIALA KPM SEKOLAH RENDAH
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA


1.0         Pengenalan

Pidato ialah satu cabang seni penyampaian mesej secara lisan yang mengandungi idea, menaakul konsep, menghuraikan dan merumuskannya secara berkesan. Penyampaian pidato yang berkesan adalah secara bersahaja dalam bentuk nasihat, peringatan, penegasan, sindiran dan selingan kecindan yang bertujuan untuk mempengaruhi audien. Penyampaian pidato yang juga bergantung kepada kesesuaian nada dan gaya bukannya menggunakan emosi seperti dengan nada suara yang tinggi, menyanyi, dan bersyair. Sentuhan seni pidato adalah unik tidak seperti seni bahas yang bertujuan menegakkan dan mematikan hujah lawan. Justeru, pertandingan pidato ini dijalankan untuk memastikan kemahiran seni ini tidak terus lenyap ditelan zaman.

1.1   Objektif Pertandingan

1.1.1     Membina keyakinan diri.
1.1.2     Meluaskan pengetahuan.
1.1.3     Memantapkan kemahiran komunikasi dan Bahasa Melayu baku.
1.1.4     Memupuk semangat patriotisme.
1.1.5     Menjana daya saing secara positif.

           
2.0       Peserta                    

2.1       Pertandingan ini terbuka kepada murid-murid tahap 2 sekolah rendah bantuan kerajaan.


3.0       Peringkat Pertandingan

            Pertandingan ini akan dijalankan dalam beberapa peringkat :-

       3.1       Peringkat Daerah

3.1.1     Semua Pejabat Pendidikan Daerah / Bahagian diminta mengendalikan pertandingan di peringkat ini.

3.1.2     Seorang peserta terbaik hendaklah dipilih mewakili daerah/bahagian ke pertandingan di peringkat negeri.




       3.2       Peringkat Negeri

3.2.1     Pertandingan di peringkat ini hendaklah dikendalikan oleh Jabatan Pendidikan Negeri.

3.2.2     Satu jawatankuasa pertandingan peringkat negeri perlu diwujudkan.

3.2.3     Seorang peserta terbaik hendaklah dipilih mewakili negeri ke pertandingan peringkat kebangsaan.

3.2.4     Jawatankuasa pertandingan peringkat negeri hendaklah menetapkan tarikh dan tempat pertandingan dan seterusnya memaklumkannya kepada urus setia di peringkat kebangsaan.

       3.3       Peringkat Kebangsaan

3.3.1     Pertandingan di peringkat ini akan dikendalikan oleh Jawatankuasa Pertandingan  Peringkat Kebangsaan.

3.3.2     Seorang peserta dari setiap negeri (seorang peserta sekolah menengah dan seorang peserta sekolah rendah) akan mewakili negeri masing-masing ke pertandingan peringkat kebangsaan.

3.3.3     Setiap peserta hendaklah diiringi oleh seorang guru pembimbing dan seorang pegawai pengiring.

4.0       Format Pertandingan

Pertandingan dijalankan dalam dua bahagian dan setiap peserta wajib bertanding dalam kedua-dua bahagian tersebut. Giliran peserta setiap bahagian ditentukan mengikut undian. Proses undian ini dijalankan oleh Ketua Hakim di hadapan semua peserta sebelum pertandingan dimulakan. Pengacara majlis dan peserta pidato TIDAK DIBENARKAN memperkenalkan diri, sekolah dan negeri masing-masing.

       4.1       Bahagian Pertama

Peserta akan menyampaikan pidato masing-masing dengan tajuk yang telah disediakan oleh jawatankuasa pertandingan terlebih dahulu.

      4.2      Bahagian Kedua

Peserta akan menyampaikan pidato masing-masing secara spontan atas tajuk yang ditentukan oleh jawatankuasa pertandingan. Peserta dikehendaki memilih tajuk di dalam sampul yang disediakan di meja ketua hakim. Pertandingan pidato secara spontan ini dijalankan selepas sahaja selesai pertandingan pidato bahagian pertama . Setelah mendapat tajuk, peserta diberi masa satu minit untuk membuat persediaan di pentas pidato tanpa bantuan oleh mana-mana pihak, alat tulis, kertas catatan, alat komunikasi dan alat elektronik.


        4.3      Syarat-syarat Pertandingan

4.3.1     Peserta  diberi masa LIMA (5 minit) untuk pidato bahagian pertama, dan TIGA (3 minit) untuk pidato    bahagian kedua.

4.3.2     Loceng akan dibunyikan sekali, SATU (1 minit ) sebelum tamat, dan dua kali setelah tamat bagi setiap kategori dan bahagian pertandingan.

4.3.3     Penyampaian pidato selepas loceng penamat dibunyikan bagi setiap bahagian pertandingan tidak  akan diberi markah.

4.3.4     Sebarang kritikan terhadap isu sensitif yang berkaitan dengan agama, bangsa dan kebudayaan atau terhadap keperibadian seseorang adalah dilarang. Kesalahan ini akan menyebabkan markah adab dipotong.

4.3.5     Penggunaan bahasa atau tutur kata yang kurang sopan adalah dilarang. Kesalahan ini akan menyebabkan markah adab dipotong.

4.3.6     Peserta yang membaca nota atau teks, menyentuh isu sensitif, menggunakan bahasa yang kurang sopan dan tidak sempat membuat kesimpulan (semua kesalahan tersebut/ mana-mana satu daripadanya) tidak layak untuk diumumkan sebagai pemenang di semua kategori dan peringkat pertandingan.

4.3.7     Peserta pidato dikehendaki menggunakan pakaian seragam sekolah / blazer / pakaian kebangsaan.

4.3.8     Pengerusi majlis berhak menegur peserta yang melanggar mana-mana peraturan di atas.


4.4       Pemilihan Tajuk

4.4.1    Peringkat Daerah dan Peringkat Negeri

Jawatankuasa setiap peringkat hendaklah menetapkan tajuk Pidato
Bahagian Pertama dan Kedua berdasarkan isu-isu semasa yang
tersiar dalam media massa negara.



4.4.2     Peringkat Separuh Akhir dan Peringkat Akhir Kebangsaan

4.4.2.1        Tajuk pidato bahagian pertama dan kedua di peringkat ini disediakan oleh Jawatankuasa Pertandingan Peringkat Kebangsaan.

4.4.2.2        Tajuk pidato bahagian pertama akan dihantar kepada peserta negeri sebaik sahaja semua keputusan peringkat negeri diterima oleh Jawatankuasa Pertandingan  Peringkat Kebangsaan.

4.4.2.3        Tajuk pidato bahagian kedua di peringkat ini ditentukan secara undian oleh Jawatankuasa Pertandingan Peringkat Kebangsaan.

4.4.2.4        Enam belas peserta setiap negeri  dalam pertandingan peringkat separuh akhir kebangsaan dibahagi kepada dua kumpulan. Tiga peserta terbaik setiap kumpulan  dipilih untuk ke pertandingan akhir peringkat kebangsaan.



4.5        Peraturan Pemarkahan

4.5.1     Pembahagian Markah Pidato Bahagian Pertama

4.5.1.1 Idea / Isi ( 30 markah )
             
Peserta pidato akan diadili dari segi pengutaraan tiga idea/ isi. Isi/idea hendaklah bernas yang disokong oleh data / bahan yang tepat / logik sebagai peneguh huraiannya.

                                                Panduan Pemarkahan

Idea/isi tepat – 2 markah
                                                Huraian – 4 markah 
Data / contoh – 3  markah
Markah penuh bagi setiap isi/ idea ialah 9 markah (9m x 3 = 27 markah  +  3 markah takrifan tajuk = 30 markah).


                                    4.5.1.2 Bahasa ( 20 markah )
                                   
Peserta pidato akan diadili dari segi bahasa yang jelas, baku (struktur dan sebutan), gaya bahasa yang berkesan dan tepat dengan maksud yang hendak disampaikan.

                                    4.5.1.3 Penyampaian dan Persembahan ( 50 markah )

4.5.1.3.1  Peserta pidato akan diadili dari segi persembahan yang lancar dan menyakinkan, gaya yang menarik dan susunan isi yang tertib. (Pergerakan tangan yang keterlaluan tidak digalakkan dan akan menjejaskan markah persembahan)

4.5.1.3.2  Intonasi dan nada yang sesuai. (nada suara yang tinggi, menjerit, menyanyi, berlakon, dialog, bersyair tidak dibenarkan dan akan menjejaskan markah persembahan)

4.5.1.3.4 Peserta pidato WAJIB memberikan salam dan kata-kata aluan sebelum memulakan pidato. Lima markah maksimum akan dipotong jika peserta menyentuh isu sensitif/menunjukkan pelakuan/ tutur kata yang kurang sopan.


                        4.5.2    Pembahagian Markah Pidato Bahagian Kedua (Spontan)
                       
                                    4.5.2.1 Isi ( 40 markah )

Peserta pidato akan diadili dari segi pengutaraan  dua idea / isi. Idea/isi hendaklah bernas/logik dan dihurai dengan jelas.
                       
                                                Panduan Pemarkahan
           
                                                Idea / isi – 5 markah
                                                Huraian – 10 markah
                                                Data / contoh – 4 markah
Markah penuh bagi setiap isi/ idea ialah 19 markah (19m x 2 = 38 markah  +  2 markah takrifan tajuk = 40 markah).

                                    4.5.2.2 Bahasa ( 30 markah )
                       
Peserta pidato akan diadili dari segi bahasa yang jelas dan baku (struktur dan sebutan), gaya bahasa yang berkesan dan tepat dengan maksud yang hendak disampaikan.
                       
                                    4.5.2.3 Penyampaian dan Persembahan ( 30 markah )

4.5.2.3.1    Peserta pidato akan diadili dari segi persembahan yang lancar dan menyakinkan, gaya yang menarik dan susunan isi yang tertib. (Pergerakan tangan yang keterlaluan tidak digalakkan dan akan menjejaskan markah persembahan)

4.5.2.3.2    Intonasi dan nada yang sesuai. (nada suara yang tinggi, menjerit, menyanyi, berlakon, dialog, bersyair tidak dibenarkan dan akan menjejaskan markah persembahan)

4.5.2.3.      Peserta pidato WAJIB memberikan salam dan kata-kata aluan sebelum memulakan pidato. Lima markah maksimum akan dipotong jika peserta menyentuh isu sensitif/menunjukkan pelakuan/ tutur kata yang kurang sopan.




4.6     Panduan Kepada Panel Hakim


4.6.1     Peserta pidato setiap bahagian akan diadili dari segi isi/idea, bahasa dan persembahan. Panel hakim tidak boleh terpengaruh dengan reaksi emosi/tepuk sorak penyokong.

4.6.2     Panel hakim diingatkan agar tidak memilih peserta pidato yang membaca nota/teks, menyentuh isu sensitif, menggunakan bahasa yang kurang sopan dan tidak sempat membuat kesimpulan (semua kesalahan tersebut/mana-mana satu daripadanya) sebagai pemenang.

4.6.3     Panel hakim perlu membuat keputusan MENGGUNAKAN SISTEM JURI.

4.6.4    Keputusan panel hakim adalah muktamad.



5.0.      Tarikh Pertandingan
   
      5.1 Peringkat Daerah                                            :          
      5.2 Peringkat Negeri                                                         :            
      5.3 Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan                      :          
      5.4 Peringkat Akhir Kebangsaan                          :          
Tem                        :         
6.0       Jawatankuasa Pertandingan Peringkat Kebangsaan

Jawatankuasa Pertandingan Peringkat Kebangsaan dipengerusikan oleh Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pelajaran Malaysia.  Ahli Jawatankuasa terdiri daripada semua Jabatan Pelajaran Negeri.

Jawatankuasa pertandingan Peringkat Kebangsaan berhak membuat keputusan yang difikirkan wajar dan munasabah jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini demi memastikan kelancaran perjalanan pertandingan pada satu-satu masa,


7.0         7.0         AM

Sebarang pindaan adalah tertakluk kepada Bahagian Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pelajaran Malaysia


Monday, November 5, 2012

Tip UPSR: Calon perlu tenang bagi mudahkan menjawab soalan


Bahasa Melayu Penulisan

BAGI mengelakkan rasa gemuruh dan kelam-kabut sebelum menduduki peperiksaan, calon dinasihatkan datang awal ke sekolah atau dewan peperiksaan.  Persediaan awal penting kerana untuk menduduki kertas Bahasa Melayu Penulisan, calon perlu benar-benar bersedia dan tenang bagi memudahkan mendapat idea bernas ketika menulis karangan.

Sebagai ulang kaji, kertas ini mengandungi tiga bahagian, iaitu Bahagian A membabitkan pembinaan ayat berdasarkan gambar, Bahagian B pula karangan, manakala Bahagian C berkaitan membuat ulasan. Ketiga-tiga bahagian ini mesti dijawab.


BAHAGIAN A   
Untuk bahagian ini, calon diberi masa selama 15 minit untuk menjawab dengan peruntukan 10 markah. Untuk mendapat markah penuh tidaklah begitu susah kerana calon perlu melakukan empat langkah, iaitu:

Langkah pertama

Calon perlu mencari kunci soalan yang terdapat dalam soalan. Kunci soalan dalam Bahagian A ada tiga iaitu "tentang", "aktiviti" atau "situasi". Kunci soalan juga boleh diperoleh dalam gambar. Contohnya dalam UPSR 2008, terdapat ayat "Cara-Cara Melintas Jalan Raya Dengan Selamat". Ayat tersebut boleh calon gunakan ketika membina ayat. Walau apapun kunci soalan yang diberikan dalam peperiksaan tahun ini, calon dinasihatkan agar memulakan ayat dengan subjek (watak).   
Langkah kedua

Calon hendaklah menyenaraikan semua kata kerja yang terdapat dalam gambar. Antara caranya ialah dengan membulatkan watak dalam gambar dan tuliskan kata kerja yang berkaitan. Cikgu cadangkan calon membuat lima bulatan sahaja bagi mewakili lima ayat. Senaraikan seberapa banyak kata kerja yang berkaitan.   

Langkah ketiga

Calon membina ayat berdasarkan kata kerja yang disenaraikan. Dinasihatkan calon membina ayat lebih daripada lapan patah perkataan dan yang paling penting, mulakan ayat dengan subjek (watak). Selepas subjek, tulis kata kerja yang berkaitan dan akhiri ayat dengan maklumat (di mana, bagaimana dan mengapa).

Contoh: Beberapa orang murid (siapa) sedang melukis dan mewarna (kata kerja) di dalam dewan sekolah (di mana) kerana menyertai pertandingan melukis sempena Hari Kebangsaan. (mengapa) Jawapan contoh: Beberapa orang murid sedang melukis dan mewarna lukisan di dalam ketika menyertai pertandingan lukisan sempena Hari Kebangsaan.

Langkah keempat 

Semak ayat yang dibina, pastikan strukturnya betul. Binalah ayat aktif dan elakkan daripada membina ayat pasif.  Semak ejaan agar tidak ada yang salah. Jangan gunakan perkataan yang calon tidak pasti ejaannya.

Kesalahan ejaan boleh menjejaskan markah.  Begitu juga dengan kosa kata atau perbendaharaan kata yang digunakan mestilah tepat. Contohnya, antara "memangkas" dengan "mencantas" dan "membelah" dengan "mengerat". Penggunaannya mengikut konteks ayat. 

Jaga-jaga dengan imbuhan yang digunakan kerana kesalahan boleh membawa maksud yang berbeza. Contohnya, "Ayah menjual ikan" dengan "Ayah penjual ikan". Kedua-dua ayat ini membawa maksud berbeza disebabkan penggunaan imbuhan.   

Akhir sekali, calon mesti berhati-hati dengan tanda baca. Pastikan ayat yang dibina bermula dengan huruf besar. Setiap ayat yang dibina mestilah mempunyai noktah. Jika calon menggunakan nama orang, pastikan perkataan awal huruf besar kerana nama orang adalah nama khas.   

Gabungkan beberapa kata kerja yang disenaraikan dalam satu ayat. Contohnya, ayat di atas terdapat tiga kata kerja iaitu menyertai, melukis dan mewarna.  Selain itu, calon tidak perlu mengulang kata kerja yang sama pada orang yang sama untuk ayat seterusnya. Ini dikatakan sebagai pengulangan ayat.  
 
Seterusnya, pastikan calon membina lima ayat sahaja. Jika ruangan jawapan yang disediakan tidak cukup, mintalah kertas jawapan tambahan daripada pengawas peperiksaan.  Jika tulisan kecil, calon dinasihatkan agar selang satu baris antara ayat yang dibina agar lebih kemas dan teratur. 
  
BAHAGIAN B 

Untuk menjawab soalan bahagian ini, calon perlu banyak membaca bagi menghasilkan karangan yang baik.

Masa yang diperuntukkan untuk menjawab bahagian ini ialah 40 minit. Petua untuk Bahagian B, calon mesti menggunakan FMK (Formula Menulis Karangan), iaitu kaedah menulis karangan berdasarkan perenggan 233332.

Setiap karangan mempunyai enam perenggan.  233332 bermaksud perenggan pertama dan keenam mempunyai dua ayat, manakala perenggan kedua hingga kelima, masing-masing tiga ayat.   

Calon dinasihatkan agar selang satu baris antara perenggan yang dibuat agar karangan dihasilkan kelihatan lebih kemas.   

Untuk menghasilkan karangan yang baik, calon haruslah melakukan empat langkah.

Langkah pertama - Pilih soalan

Calon mesti membaca semua soalan terlebih dahulu sebelum memilih soalan yang hendak dijawab.  Pilih soalan yang banyak isi berdasarkan pengalaman calon agar mudah untuk menulis karangan. Ini kerana ada juga karangan yang senang tajuknya tetapi calon sukar mencari isinya. 

Calon juga perlu mencari kunci soalan, kehendak soalan, format dan jenis karangan. Contohnya: Pada suatu petang, anda bersiar-siar dengan seorang rakan di tepi pantai. Tiba-tiba anda terdengar jeritan orang meminta tolong.

Ceritakan tindakan anda dan kawan anda ketika itu. Kunci soalan ini ialah "Ceritakan tindakan". Kehendak soalan ialah "menceritakan tindakan selepas mendengar jeritan", manakala format dan jenis karangan ialah cerita dan karangan tidak berformat. Langkah dicadangkan ini boleh membantu calon mengelakkan daripada menulis karangan terpesong.

Langkah kedua - Merangka karangan

Gunakan kaedah merangka karangan yang telah dipelajari sama ada "Peta Minda", "Melakar Isi" atau "Teknik Penyoalan".

Langkah ketiga - Menulis karangan

Pastikan ada enam perenggan. Pastikan juga tidak tersilap menulis perenggan pendahuluan kerana ada calon yang masukkan isi dalam perenggan pengenalan itu. Contohnya: 

1. Melancong ialah aktiviti yang mempunyai banyak faedah kepada kita semua. Antaranya ialah kita dapat menambahkan ilmu pengetahuan.

2. Melancong ialah aktiviti yang mempunyai banyak faedah kepada kita semua. Kita boleh melancong di dalam atau luar negara.

Jawapan yang tepat sebagai pendahuluan adalah jawapan 2. Untuk karangan fakta, calon boleh menulis karangan dengan menggunakan kaedah ICK iaitu isi, contoh dan kesan atau IKC (isi, kesan dan contoh).

Untuk perenggan penutup, calon boleh gunakan pelbagai jenis penutup seperti dalam bentuk rumusan, nilai, pantun, penegasan, peribahasa, kata hikmah dan pendirian.

Langkah keempat - Semak karangan

Pastikan struktur ayat, ejaan, imbuhan dan tanda baca yang digunakan betul sebelum beralih untuk menjawab Bahagian C.   

BAHAGIAN C
  
Bahagian C memperuntukkan markah sebanyak 20 dan masanya 20 minit sahaja. Oleh itu, calon mesti bijak menggunakan masa untuk menjawab soalan bahagian ini.   

Konsep Bahagian C ialah mengecam nilai murni atau pengajaran yang terdapat dalam petikan diberikan. Lantaran itu, calon mesti mengecam, mencari, mengenal dan mendapatkan nilai murni atau pengajaran yang terkandung dalam petikan itu.  
 
Calon juga mesti tahu membezakan antara perbuatan dengan nilai murni atau pengajaran. Contohnya: Abang mengucapkan terima kasih kepada adik kerana mengeluarkan barang-barang dari dalam bilik itu. Pengajaran bagi ayat ini ialah "menghargai", manakala perbuatan yang menunjukkan adanya pengajaran ialah "Abang mengucapkan terima kasih".   

Membezakan antara perbuatan dengan pengajaran penting agar calon tidak tersilap mengulas pengajaran yang sepatutnya. Untuk menghasilkan jawapan yang baik, empat langkah dicadangkan iaitu:

Langkah pertama

Baca petikan sekali lalu untuk memahami kandungannya. Kemudian, baca sekali lagi dan gariskan perkataan yang menunjukkan terdapatnya nilai murni atau pengajaran. Contohnya: Zaidi selalu mengulang kaji pelajaran pada waktu malam. Perkataan yang menunjukkan ada pengajaran ialah "mengulang kaji". Walaupun perlu mengulas lima pengajaran sahaja, calon dinasihatkan agar mencari seberapa banyak pengajaran yang ada dalam petikan.

Langkah kedua

Calon perlu memilih lima pengajaran yang ingin diulas dan binalah rangka ulasan. Contohnya:

a) Pengajaran - Rajin   
b) Perbuatan  - mengulang kaji pelajaran   
c) Mengapa - lulus periksa   

Langkah ketiga

Membina ulasan lengkap, contohnya: Kita mestilah rajin dengan mengulang kaji pelajaran agar lulus dalam peperiksaan. Ulasan mesti ditulis dalam satu perenggan. Oleh itu, gunakan penanda wacana agar ayat yang dibina lebih menarik.

Langkah keempat

Semak ulasan yang telah ditulis. Pastikan struktur ayat, ejaan, imbuhan dan tanda baca yang digunakan betul.

Oleh sebab masa diberikan untuk menjawab ketiga-tiga bahagian dalam kertas ini agak singkat, iaitu 1 jam 15 minit, calon perlu bijak menguruskannya. Masa yang dicadangkan untuk Bahagian A ialah tiga minit untuk memahami gambar, lima minit tulis ayat dan dua minit untuk menyemak. Untuk Bahagian B (10 minit faham soalan dan bina rangka karangan, 25 minit hasilkan karangan lengkap dan lima minit lagi untuk semakan).   

Untuk Bahagian C (lima minit cari dan senaraikan nilai murni atau pengajaran, 10 minit tulis ulasan lengkap dan lima minit lagi menyemak). Lima minit terakhir, gunakan untuk semak semua jawapan Bahagian A, B dan C.

Saturday, November 3, 2012

SAJAK : BAHASA JIWA BANGSA




Bahasa itu luahan rasa
Hasil cantuman jiwa
Daripada minda anak merdeka
Jiwa pula denyut nadi
Anak pribumi
Yang mempunyai jati diri
Bangsa lambang penyatuan
Jiwa-jiwa kental
Yang tahan cabaran
Tunggak negara
Yang menuju kecemerlangan
Demi bangsa

SISTEM BAHASA


Sistem bahasa berfokus kepada pengajaran dan pembelajaran tatabahasa, ejaan, sebutan dan intonasi, kosa kata, dan peribahasa.

1.0 Tatabahasa
Tatabahasa hendaklah dijadikan dasar kecekapan berbahasa dan diajarkan secara terancang dalam konteks untuk ketepatan
berbahasa. Kandungan tatabahasa terdiri daripada morfologi dan sintaksis.

2.0 Sistem Ejaan
Perkara yang ditekankan ialah:
i. pola keselarasan huruf vokal
ii. ejaan kata pinjaman
iii. ejaan kata dasar dan kata terbitan

3.0 Sebutan dan Intonasi
Sebutan dan intonasi diajarkan supaya murid dapat menyebut dengan betul serta memahami intonasi dan jeda. Kemahiran
yang dipupuk ialah kebolehan mengenal pasti dan membezakan pelbagai aspek dalam sebutan dan intonasi supaya murid
dapat menyampaikan sesuatu makna dengan tepat. Sebutan bahasa Melayu yang diajarkan di sekolah hendaklah sebutan
bahasa Melayu baku.

4.0 Kosa kata
Kosa kata terdiri daripada kosa kata umum dan istilah. Penguasaan kosa kata perlu dipertingkat dan diperkembang selaras

Perumpamaan

1. Perumpamaan ialah susunan katakata yang indah, ringkas, dan kemas serta mempunyai maksud yang tersirat.

2. Biasanya, perumpamaan dimulai dengan kata bagai, ibarat, laksana, seperti, dan umpama.
3. Senarai perumpamaan dan maksudnya adalah seperti yang berikut.
Perumpamaan
Maksud
Bagai aur dengan tebing
tolong-menolong antara satu dengan yang lain
Bagai bunyi cempedak jatuh
bunyi jatuh yang kuat
Bagai bulan dipagari bintang
kecantikan gadis yang tiada bandingannya
Bagai diiris dengan sembilu
perasaan yang sangat pedih
Bagai duri dalam daging
sesuatu hal yang tidak menyenangkan
Bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing
hanya mementingkan diri sendiri
Bagai itik pulang petang
berjalan lambat sekali
Bagai isi dengan kuku
persahabatan yang sangat erat
Bagai kacang melupakan kulit
orang yang tidak tahu mengenang budi
Bagai kumbang putus tali
amat cepat; terlepas daripada sengsara
Bagai melepaskan batuk di tangga
membuat sesuatu kerja sambil lewa saja
Bagai menatang minyak yang penuh
mendidik anak dengan penuh belaian kasih sayang
Bagai mencencang air
membuat pekerjaan yang sia-sia
Bagai mural tercabut ekor
seseorang yang becok mulutnya
Bagai si kudung mendapat cincin
orang yang tidak dapat merasai nikmat atau menggunakan kemudahan yang diperoleh
Bagai pinang dibelah dua/ Seperti cincin dengan permata
pasangan yang sama padan dan sama cantik
Bagai tikus membaiki labu
merosakkan lagi barang yang dibaikinya
Seperti abu di atas tunggul/ Seperti telur di hujung tanduk
kedudukan tidak tetap atau tidak terjamin
Seperd anak ayam kehilangan ibu
berpecah dan hilang tempat bergantung